Profil

Pendahuluan

Rempah TokMa merupakan rempah tradisi turun-temurun yang telah dikomersialkan. Ia bertujuan untuk memperluaskan penggunaan rempah disamping memperkenalkan kepada orang ramai tentang rasa sebenar rempah tradisional ini. Rempah TokMa amat mementingkan kebersihan dan ianya dibasuh dan dikeringkan sebelum dikisar halus. Ia juga amat menitik beratkan rasa sebenar rempah dengan tidak memasuki sebarang bahan luar seperti perasa, pewarna atau pengawet. Berikut adalah proses pengeluaran rempah TokMa.

Proses Pengeluaran

Proses pengeluaran rempah TokMa dilakukan dalam enam (6) sub-proses, iaitu:

  1. Penerimaan bahan mentah
  2. Pembersihan
  3. Pengeringan
  4. Pengadunan dan Pengisaran
  5. Pemeriksaan Kualiti
  6. Pembungkusan

Penerimaan Bahan Mentah
Bahan mentah terdiri daripada rempah ratus seperti buah pelaga, kayu manis, jintan putih, jintan manis, ketumbar, lada hitam, lada kering dan cengkih. Bahan mentah diperolehi melalui penghantaran terus dari pemborong ke premis pemprosesan rempah TokMa.

Pembersihan
Pembersihan merupakan proses membasuh bahan mentah bagi memastikan rempah yang dihasilkan berkualiti tinggi. Pembasuhan rempah dibuat untuk setiap jenis rempah mentah secara berasingan Air dituang ke dalam bekas sehingga tenggelam seluruh rempah mentah dan ia digaul didalam air sehingga rata. Ini bertujuan untuk mengasingkan rempah mentah dengan bendasing dan kotoran yang tidak dikehendaki. Hanya rempah mentah yang berkualiti baik akan terapung di permukaan air. Rempah mentah yang terapung dipindahkan ke dalam bakul untuk disejatkan.

Pengeringan
Proses pengeringan dilakukan untuk memastikan rempah mentah yang telah dibasuh betul-betul kering sebelum di kisar bagi menjamin mutu dan kualiti yang tinggi. Rempah mentah yang sudah dibasuh akan disejat untuk seketika sementara dimasukkan ke dalam oven pengering pada suhu sekitar 1000C. Penilaian tahap kekeringan dibuat secara manual untuk memastikan bahan mentah yang dibasuh adalah betul betul kering sebelum dikisar. Rempah mentah yang telah kering akan disimpan ke dalam bekas kedap udara mengikut jenis masing-masing. Bekas rempah mentah tersebut dibiarkan terbuka sehingga suhu rempah menyamai suhu bilik sebelum ditutup rapat. Ini bertujuan untuk mengekalkan kualiti rempah sebelum dikisar.


Pengadunan dan Pengisaran
Proses ini agak kritikal memandangkan hasil pemprosesan adalah produk terakhir yang dikehendaki. Rempah mentah dicampur dan diadun mengikut sukatan tertentu bagi setiap jenis sebelum dikisar. Ia bergantung kepada produk rempah yang hendak dihasilkan. Rempah mentah yang telah diadun akan dikisar untuk mencapai kualiti kehalusan serbuk rempah yang dikehendaki. Serbuk rempah dibiarkan sejuk sehingga menyamai suhu bilik sebelum bekasnya ditutup rapat.

Pemeriksaan Kualiti
Sebelum pembungkusan rempah dibuat, pemeriksaan kualiti perlu dijalankan bagi memastikan ianya mencapai tahap kualiti yang telah ditetapkan. Pemeriksaan yang dilakukan adalah dengan menilai tahap kehalusan yang diperlukan dan proses pengisaran ini berulang sehingga rempah betul betul halus.


Pembungkusan
Proses ini merupakan proses yang terakhir dalam pengeluaran produk rempah. Ia dilakukan menggunakan mesin mengikut saiz timbangan yang diperlukan. Sehingga kini TokMa mengeluarkan dua bentuk pembungkusan iaitu 25g dan 250g. Serbuk rempah yang sudah siap dibungkus akan diedar dan dijual kepada pemborong dan peruncit.