Profil

Pengenalan Tok Ma

HAJJAH SALEHAH BINTI HAJI MOHAMAD, lahir pada tanggal 24 April 1947 adalah seorang ibu kepada empat orang anak dan telah mengadun dan mengeluar rempah serbuk sejak lebih 30 tahun yang lalu menggunakan ramuan yang diwarisi daripada ibunda beliau, Allahyarhamah Hajjah Aksah. Rempah yang dikeluarkan bukan sahaja digunakan untuk masakan seisi keluarga, tetapi juga dibeli dan dipesan oleh saudara mara dan jiran tetangga secara kecil-kecilan. Bantuan dan sokongan dari suami, Allahyarham Haji Jaafar Bin Abu Bakar iaitu bekas seorang guru agama telah memberi dorongan yang kuat kepada Hajjah Salehah untuk terus menghasilkan rempah sebagai memenuhi permintaan saudara dan jiran terdekat. Sebagai seorang isteri yang juga surirumah sepenuh masa, hasil dari jualan dan tempahan rempah ini, sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan rumah ketika itu.

Setelah anak-anak meningkat dewasa, pengalaman bekerja telah memberi satu ilham kepada mereka untuk meneruskan usaha ibunda Hajjah Salehah, bukan lagi memproses dan mengeluar rempah secara kecil-kecilan, tetapi keperingkat yang lebih jauh. Sambutan awal yang diterima adalah amat menggalakkan.

Unjuran dari itu, satu syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah dipersetujui untuk ditubuhkan dengan sebulat suara oleh semua ahli keluarga dengan menggunakan jenama Rempah Warisan. Namun, maklum balas yang diterima agak mendukacitakan, Rempah Warisan tidak diluluskan untuk diguna pakai sebagai jenama produk keluaran syarikat. Setelah beberapa siri perbincangan, maka tertubuhlah sebuah syarikat yang dinamakan ANAK JASA (M) SDN BHD dengan membawa jenama baru iaitu rempah TokMa.

Pada 16 November 2016, Anak Jasa (M) Sdn Bhd telah didaftarkan dengan satu visi untuk mengetengahkan produk rempah serbuk ’homemade’ dengan citarasa yang unik ke peringkat yang lebih jauh. JASA sebenarnya adalah singkatan nama ayahanda dan ibunda iaitu Hj. Jaafar dan Hjh. Salehah. Produk rempah yang dikeluarkan menggunakan jenama baru TokMa ini telah di daftarkan dan mendapat cap dagangan yang difailkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 6 November 2007. TokMa adalah panggilan manja cucu-cucu kepada Hjh Salehah.

Modal pelaburan syarikat Anak Jasa (M) Sdn Bhd pada asalnya adalah merupakan tabung keluarga Allahyarham Haji Jaafar, isteri Hajjah Salehah dan anak-anak yang berbentuk yayasan untuk menjana kewangan bagi membantu ahli keluarga. Semua anak-anak sepakat membuat sumbangan setiap bulan untuk membentuk satu tabung keluarga.

Setelah sekian lama menabung dan dengan sumbangan yang terkumpul, semua anak-anak merasakan perlu dibuat sesuatu supaya hasil tabungan tersebut dapat digunakan untuk menjana kewangan yang lebih menguntungkan. Maka anak-anak memutuskan untuk menggunakan hasil tabung keluarga tersebut untuk dibuat modal perniagaan rempah sebenar berjenama TokMa.